Monday, October 26, 2009

Makanan berbahaya...


Secara kita tidak sedari makanan yang kita makan sehari-hari mempunyai banyak risiko penyakit dan berkemungkinan mengandungi bakteria berbahaya yang memudaratkan kesihatan. Ini adalah berdasarkan maklumat yang terkandung dalam buku yang berjudul Makanan berbahaya terbitan Persatuan Pengguna Pulau Pinang. Buku ini mengandungi panduan CAP mengenai bahaya tersembunyi dalam makanan. Memakan sesetengah daripada makanan ini bukan sekadar boleh membuatkan anda terpaksa berulang alik ke tandas. disebabkan beracun, makanan sebegini boleh membawa kepada pelbagai gangguan dan kesakitan kronik - malah kanser, kemandulan dan kecacatan di kalangan anak-anak muda. CAP meneliti segala kelemahan dan keburukan yang terselindung di sebalik makanan yang dianggap menyenangkan pada masa kini. Makanan sekarang tidak lagi seperti yang anda sangkakan: kini adalah lebih menguntungkan untuk memalsukan makanan - sama ada yang dibenarkan atau tidak - dengan ramuan tiruan dan pengganti yang murah.

Bagi saya yang menariknya tentang buku ini, adalah kupasan tentang resepi pembawa penyakit dan bendasing yang terkandung dalam makanan seharian kita. Percaya atau tidak, terdapat keajadian dimana bendasing dalam makanan yang nyaris dimakan oleh pembelinya. Bukan sahaja bendasing yang berbahaya dan menjijikkan seperti jarum, lipas, kaca, pin baju berkarat, cicak, telur lipas, dawai kokot, getah, spring, rambut, ulat, lalat bahkan najis serangga juga berkemungkinan terdapat dalam makanan yang anda makan. Sungguh meloyakan...Oleh itu lihat dahulu sebelum anda memakan sesuatu terutamanya makanan yang sedia dimakan seperti roti, minuman dalam tin, makanan ringan dsbnya.

Selain daripada bendasing berbahaya dan menjijikkan, terdapat juga kuman pembawa penyakit di dalam makanan. Kadangkala kandungannya melebihi daripada jumlah maskimum yang dibenarkan. Kuman-kuman ini sememangnya tidak kita sedari terdapat dalam makanan yang dimakan kerana ia tidak dapat dilihat oleh mata kasar. Antara kuman yang biasa terdapat di dalam makanan terutamanya makanan laut, sayur-sayuran, daging dan makanan yang sedia dimakan (di kedai kopi, gerai penjaja, restoran dsbnya) adalah E.coli (terkandung dalam najis atau usus manusia dan haiwan), Staphylococcus aureus (menyebabkan keracunan makanan - terdapat dalam hidung, kerongkong dan kudis) dan caliform (nama kolektif bagi beberapa jenis bakteria yang terdapat dalam usus dan najis manusia dan haiwan).

Ingin mengetahui lebih lanjut?kandungan berbahaya dan mengancam nyawa dalam makanan?Bacalah buku yang berinformasi ini untuk faedah bersama. Semoga kupasan ini dapat membantu anda memilih dengan lebih bijak dan berhati-hati semasa membeli. Selamat membaca dan tingkatkan informasi anda..

(Sumber: Makanan berbahaya. (2002). Pulau Pinang: Persatuan Pengguna Pulau Pinang)

1 comment: